1MDB Akan Tumpu Kepada Strategi Pengkewangan Aset

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda 
KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mengelak konfrontasi dengan ahli politik dan memberi tumpuan kepada strategi pengkewangan asetnya.

Dalam satu temubual dengan BBC hari ini, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda berkata, tugasnya adalah untuk memastikan 1MDB menukar asetnya kepada wang dalam cara yang memberikan yang terbaik kepada pemegang saham.

“Kami mahu mengelak daripada terbabit dengan perang mulut dengan mana-mana ahli politik. Saya bukan ahli politik, saya seorang ahli perniagaan. Persepsi terhadap 1MDB adalah buruk dan pelbagai usaha perlu dibuat untuk membetulkan isu itu,” katanya.

Arul berkata, 1MDB secara berterusan menegaskan tidak ada dana daripada 1MDB telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah dengan jelas menyatakan tidak ada dana daripada 1MDB pergi ke akaun peribadi perdana menteri dan ini adalah fakta.

“Mereka juga dengan jelas menyatakan sumber dana US$700 juta itu daripada penderma persendirian di Timur Tengah,” katanya.

Pada Ogos lalu, Arul berkata, langkah rasionalisasi 1MDB akan mampu mengurangkan hutangnya dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Menurutnya, pelabur yakin kepada aset 1MDB, iaitu Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia dan Edra Global Energy berikutan asas ekonomi mereka yang kukuh.

“Edra Global Energy memperoleh pendapatan kira-kira RM5 bilion setahun manakala 40 syarikat antarabangsa telah menunjuk minat menjadi rakan kongsi membangunkan projek hartanah di Bandar Malaysia,” katanya. – BERNAMA