1MDB Cabar Tony Pua "Cakap Dan Buat", Beri Bukti Kukuh


KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menggesa Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua “cakap dan buat” dan menyediakan bukti jelas kepada pihak berkuasa undang-undang untuk tindakan selanjutnya.

“1MDBP secara konsisten menyatakan jika terdapat sebarang bukti salah laku, maka tindakan perlu dilakukan melalui undang-undang,” kata 1MDB dalam kenyataan, di sini.

Bagaimanapun jika Pua tidak dapat menyediakan bukti maka beliau perlu berhenti membuat dakwaan liar dan tidak berasas yang secara jelasnya bermotifkan politik, kata kenyataan itu.

Syarikat milik kerajaan itu berkata Pejabat Peguam Negara sudah mengemukakan fakta berkaitan siasatan 1MDB melalui kenyataan yang jelas dikeluarkan pada 13 Okt 2015 dalam www.agc.gov.my.

“Dalam ringkasan Pejabat Peguam Negara telah mengkaji semua dokumen berkaitan dalam kertas siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) mematuhi undang-undang tadbir berkaitan perkara terbabit dan mengesahkan ‘tidak ada kesalahan telah dilakukan’ oleh 1MDB,” katanya.

1MDB juga berkata syarikat akan terus bekerja rapat dengan Jabatan Audit Negara bagi menyediakan maklumat yang dikehendaki untuk laporan akhir yang akan dikemukakan pada hujung tahun ini kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara) yang dianggotai Pua. – BERNAMA