KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu laporan Jabatan Audit Negara bagi melengkapkan siasatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sehubungan itu, isu pembubaran Pasukan Petugas Khas Polis Diraja Malaysia tidak timbul.
“Kita kena kenal pasti kesalahan untuk jalankan siasatan… dan siasatan tetap diteruskan selagi ada bukti baharu,” katanya selepas majlis penghargaan Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 5 Ogos lepas bahawa Pasukan Petugas Khas Bersama bagi menyiasat isu itu dibubarkan dengan ketiga-tiga agensi bekerja secara sendirian.
Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara, R. Raja Sunthara Kannan hari ini berkata hasil siasatan jabatan itu terhadap akaun 1MDB akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan lagi dan pihaknya sedang melaksanakan fasa kedua siasatan yang lebih terperinci berkaitan beberapa unsur yang belum disiasat.
Mengulas mengenai perkara itu, Khalid berkata pihaknya juga sering membuat perjumpaan dengan Pasukan Petugas Khas tiga agensi lain iaitu Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan SPRM.
Khalid berkata polis turut menerima laporan di Sungai Petani semalam berhubung kegagalan Bank Negara mengesan atau mengenal pasti kelulusan yang telah diberi 1MDB.
“Kita juga terima laporan dari 1MDB sendiri tentang kebocoran siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara kepada Wall Street Journal dan Sarawak Report,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid melarang penganjur mengadakan persidangan ‘Love and Sex with Robots’ di Johor yang dijadualkan bulan depan.
“Saya ingin memberi amaran kepada penganjur berkenaan jangan nak mengarut dan jangan cuba buat perkara yang tidak normal di negara ini. Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mereka,” katanya. – BERNAMA