TELUK INTAN – Dua beranak maut manakala dua yang lain parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7, Jalan Maharajalela, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan adalah Toyota Vios, Perodua Kancil dan Proton Wira. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa yang maut adalah Nissamuddin Osman, 26, dan ibunya Norijah Sitin, 63.
Katanya, isteri mangsa Nur Athirah Mohamad Rosle, 19, yang mengandung lima bulan dan anak saudaranya Syazatul Hasni Syaharuddin, 13, pula parah.
Mohd Shuhaily berkata, Nissamuddin maut di tempat kejadian manakala ibunya meninggal dunia di hospital dan isteri mangsa dalam keadaan stabil.
“Semua mangsa berkenaan menaiki kereta Perodua Kancil manakala pemandu kereta Toyota Vios serta pemandu dan empat penumpang Proton Wira tidak cedera.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Katanya, polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu Toyota Vios berusia 29 untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BHarian