ALOR SETAR - Dua wanita warga Filipina cuba memperdaya orang awam apabila mengutip derma sambil bermain gitar di sebuah restoran di Taman Darulaman Jaya, di sini.
Bagaimanapun, helah dua wanita masing-masing berusia 43 dan 51 tahun itu akhirnya terbongkar dalam Ops Sapu Jabatan Imigresen Kedah, kelmarin.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, aktiviti berkenaan didapati tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Kedua-dua mereka dikesan melakukan aktiviti mengutip derma dengan bermain gitar untuk menarik perhatian orang ramai di sekitar kawasan berkenaan.
“Dua wanita yang melanggar syarat pas lawatan itu juga mendakwa kutipan derma dilakukan bagi mengisi dana sebuah pertubuhan untuk anak-anak di Asia,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di tapak pasar malam Kulim, seorang lelaki warga Thailand berusia 20 tahun turut ditahan apabila cuba menagih simpati masyarakat dengan memakai jubah dan meminta derma.
Mohamad Yusri berkata, dua lelaki warga Myanmar yang melakukan kerja-kerja pembersihan di pekarangan Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Anak Bukit turut ditahan dalam Ops Sapu kali ini.
Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dipercayai majikan dua pekerja terbabit.
"Bilangan keseluruhan warga asing ditahan melalui serbuan di tiga lokasi berasingan adalah lima orang iaitu dua warga Filipina, Myanmar (2) dan Thailand (1).
"Dua lelaki warga Myanmar didakwa tidak memiliki dokumen perjalanan sah, selebihnya ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan sosial," katanya.
Menurutnya, lelaki tempatan berusia 39 tahun turut ditahan kerana kesalahan melindungi warga asing.
Sumber; Sinar Harian