3 Kertas Siasatan Dibuka Terhadap Tun Mahathir Selepas Ada Aduan


Kerajaan telah membuka tiga kertas siasatan terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata dua kertas siasatan membabitkan siasatan yang masih lagi dijalankan manakala satu lagi telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 9 Oktober lalu untuk arahan lanjut.

“Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap aduan yang dibuat terhadap Tun Mahathir iaitu berkait Klang Report 33074/14 dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk ulasan dan arahan lanjut setelah siasatan selesai dijalankan.

“Selain kes tersebut, pihak polis juga menjalankan siasatan berkait Jinjang Report 18448/2015 dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen DAP-Cheras, Tan Kok Wai yang meminta kementerian menyatakan hasil siasatan dan tindakan yang diambil polis ke atas Tun Mahathir yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Sumber: The Rakyat Post