KEMAMAN – Sebanyak 41,000 saman telah dikeluarkan terhadap pesalah trafik di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sejak ia dibuka secara berperingkat bermula tahun 2011 hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata kesemua saman terhadap pengguna lebuh raya itu dikeluarkan kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik termasuk saman perangkap had laju.
Katanya bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini sebanyak 24,000 saman dikeluarkan berbanding 14,000 dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Peningkatan saman sebanyak 10,000 pada tahun ini adalah ekoran peningkatkan operasi dan penguatkuasaan yang kita jalankan di sepanjang lebuh raya tersebut.
“Selain memasang perangkap had laju, kita juga turut mengadakan sekatan jalan raya dan mengeluarkan saman terus kepada pengguna yang melakukan kesalahan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Rosli berkata dalam tempoh lima tahun LPT2 itu beroperasi, sebanyak 1,468 rondaan telah dilaksanakan di sepanjang laluan 184 kilometer dari Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Nerus.
Justeru, pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi serta memasang lebih banyak perangkap had laju di laluan berkenaan sebagai usaha bagi mengurangkan kes kemalangan maut sepanjang laluan tersebut.
Beliau berkata pada awal bulan depan, pihaknya akan mendapat bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk melakukan rondaan di LPT2.
“Kita juga akan bekerjasama dengan peronda lebuh raya untuk melakukan rondaan bagi menangani kes kemalangan di laluan tersebut,” katanya.
Berdasarkan statistik semasa, sebanyak 1,991 kes kemalangan telah direkodkan dan meragut 85 nyawa sejak lebuh raya itu beroperasi pada Januari 2011. – BERNAMA