77% Rakyat Negara "Maju" Singapura Suka Bazir Makanan?

Gambar Hiasan
SINGAPURA – Bersempena dengan sambutan Hari Makanan Sedunia pada 16 Oktober, satu laporan terbaharu mendedahkan bahawa 77 peratus daripada warga Singapura kerap membazir makanan mereka sendiri di rumah.

Kajian dijalankan firma peralatan kediaman, Electrolux, turut mendapati, hanya 32 peratus daripada mereka yang ditinjau dalam kajian itu menjelaskan bahawa mereka cuba mengelak pembaziran ketika menyajikan makanan.

Malangnya cuma 35 peratus responden didapati aktif mengitar semula baki makanan, manakala 92 peratus hanya meninggalkan baki makanan di dalam peti sejuk dengan harapan anggota keluarga lain akan memakannya semula.

Tetapi pada akhirnya mereka juga akan membuang lebihan makanan tersebut yang disimpan secara sejuk beku itu setelah sekian lama terbiar begitu sahaja dan tidak pula dimakan oleh sesiapa pun di dalam rumah.

Pada masa sama, 29 peratus menegaskan bahawa mereka tidak akan makan baki atau sisa makanan dan hampir separuh daripada responden tidak menghiraukan langsung tentang lebihan makanan yang disimpan di peti sejuk.


Sikap pengguna terhadap makanan itu juga sekali gus menjelaskan bagaimana 788,600 tan makanan dibazirkan sia-sia pada tahun lalu di Singapura, menurut laporan akhbar petang edaran percuma TODAY pada Jumaat.

Daripada jumlah tersebut, hanya kira-kira 13 peratus atau sejumlah 101,400 tan sisa makanan berjaya dikitar semula berdasarkan hasil penyelidikan tahunan yang dijalankan oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan.

Kajian Electrolux itu turut meminta kerjasama orang ramai untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan menjawab beberapa soalan kajian dikemukakan kepada mereka yang berusia antara 18 sehingga 65 tahun.

Responden juga akan didedahan mengenai cara-cara wajar bagi mengelak pembaziran makanan, kata kenyataan syarikat peralatan rumah kedua terbesar dunia itu yang berpusat di Sweden dan ditubuhkan sejak 1919.

Kajian Electrolux Food Waste At Home itu dilaksanakan bagi pelancaran inisiatif program mengelak tabiat pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat setempat di Singapura. – Agensi