Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Syahrir Azfar Mohd. Salleh |
KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Wilayah Persekutuan mendakwa sebuah gereja di ibu negara mengadakan seminar yang bertujuan menyeru masyarakat Malaysia terutama bukan Islam supaya mengiktiraf Israel.
Yang Dipertuanya, Syahrir Azfar Mohd. Salleh berkata, seminar ‘Bringing the Good News to God’s Covenant People’ oleh Christian Witness to Israel (CWI) itu bermula semalam dan dijadual berakhir hari ini.
“ABIM Wilayah Persekutuan memandang berat mengenai penganjuran seminar di KL Chinese Methodist Church ini.
“Penganjuran seminar ini jelas membawa mesej mengiktiraf Israel dan ianya melanggar dasar luar Malaysia yang tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Syahrir Azfar berkata, seminar itu tidak sepatutnya berlangsung di Malaysia kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dengan tegas mengutuk tindakan Israel ke atas rakyat Palestin.
“Justeru, mengambil kira sensitiviti masyarakat dan komitmen Malaysia dalam membela nasib Palestin, ABIM Wilayah Persekutuan telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat penganjuran seminar ini,” katanya. -Kedahnews.com