Adenan Komited Fokus Majukan Kawasan Luar Bandar Di Sarawak


KUCHING – Peruntukan sebanyak RM500 juta lagi akan dipohon bagi mentransformasikan dan memajukan kawasan luar bandar, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata peruntukan RM500 juta dan tambahan RM250 juta dari tabung kewangan negeri telah diluluskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Adenan berkata selain bertujuan untuk menambah baik prasarana di kawasan luar bandar, peruntukan itu juga dapat membuka peluang perniagaan kepada 1,500 projek bagi usahawan Bumiputera di negeri ini, khususnya kontraktor kelas E dan F.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2015 di sini malam tadi.

Sementara itu, Adenan berkata sejak beliau menjadi ketua menteri, beliau telah membuat 43 keputusan termasuk penghapusan tol, penurunan tarif elektrif dan tambang feri.

Selain itu, katanya beliau juga turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pembinaan lebuh raya Pan Borneo dipercepatkan dan syarikat kontraktor milik anak Sarawak diberi peluang dalam projek berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Saya juga meminta daripada Perdana Menteri supaya syarikat dari Sarawak diberi peluang untuk turut serta dalam projek petroleum dan gas,” katanya.

Beliau turut mengulangi seruan agar rakyat Sarawak terus memberi peluang dan sokongan selama sepenggal lagi untuk beliau memimpin kerana masih banyak lagi perancangannya untuk Sarawak. – BERNAMA