Adenan Satem Inklusif, Peka Terhadap Sensitiviti Rakyat Sarawak


KUCHING - Sarawak akan terus mengekalkan penggunaan kalimah ‘Allah’ tidak hanya bagi masyarakat yang beragama Islam, bahkan bagi masyarakat bukan beragama Islam di negeri ini.

Menurut Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, perkara itu telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam mesyuarat kabinet, baru-baru ini.

Malah, jelasnya, Adenan juga ada mengumumkan bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di Sarawak.

“Beliau (Adenan) mengambil contoh testimoni pengalaman peribadinya yang menuntut di sekolah mubaligh suatu ketika dahulu, yang mengamalkan bacaan doa hampir setiap pagi sebelum bermula waktu persekolahan mengikut cara Kristian, tetapi beliau tetap seorang Islam.

“Malah di sekolah itu juga (Sekolah St Joseph) beliau belajar dan memahami bagaimana rakyat di Sarawak bercampur gaul bersama tanpa mengira latar belakang agama dan seumpamanya.

“Ini jelas menunjukkan beliau sebagai seorang pemimpin yang bersifat inklusif (menyeluruh) dan begitu peka akan sensitiviti masyarakat yang berbilang kaum di sini,” katanya.

Katanya, meskipun kawan-kawan beragama Kristian bersembahyang mengikut acara agama itu, pelajar Islam lain yang juga bersekolah di sekolah mubaligh kekal dengan agama Islam yang mereka yakini dan percaya.

“Kita berharap ini akan menjadi contoh kepada pelbagai lapisan generasi dan seluruh rakyat di negeri ini supaya isu perkauman dan keagamaan tidak timbul sebagai isu perpecahan kaum oleh mana-mana pihak sekalipun,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Rekap Bunuk, Kampung Bunuk, Jalan Puncak Borneo di pejabat Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang di Bangunan Baitulmakmur di sini, kelmarin.

Sementara itu, Liwan ketika bercakap mengenai MRP yang berjumlah RM250,000 dari kerajaan negeri kepada Gereja SIB Rekap Bunuk itu memberitahu, peruntukan itu jelas membuktikan Adenan seorang pemimpin yang mengambil berat akan kebajikan rakyat Sarawak tanpa membeza-bezakan latar belakang rakyat.

“Beliau seorang yang tidak cakap kosong. Kalau dia umum untuk melakukan sesuatu, beliau akan umum. Seperti apa yang beliau kata, beliau akan bantu sesiapa sahaja, maka beliau hulurkan bantuan.

“Kami (wakil SIB) sangat berterima kasih kepada Adenan kerana memberikan peruntukan besar bernilai RM250,000 ini untuk membangunkan rumah ibadah iaitu gereja untuk digunakan oleh penduduk sekitar Jalan Puncak Borneo,” jelasnya.

Difahamkan, Gereja SIB Rekap Bunuk baharu yang menggantikan gereja kecil lama dan usang sebelum ini, dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 30 poin dan apabila siap kelak, ia dijangka mampu menampung kapasiti masyarakat Kristian di kawasan sekitar dengan jumlah seramai 400 orang dalam satu masa.

Hadir sama Ketua Pastor Khoo Kin Nyen, wakil Pejabat Daerah Kuching Pastor Stanley Lukong dan Setiausaha Jawatankuasa Gereja SIB Rekap Bunuk Moin Kuer.


Sumber: Borneo Post