Adira memang cerah gebu kulitnya |
Tidak tahan melihat airmata ibunya tumpah gara-gara dirinya dikutuk peminat di Instagram, penyanyi berkulit cerah, Adira meluahkan rasa kesal dengan sikap individu tertentu tersebut yang disifatkan sebagai tidak wajar sama sekali.
Kata Adira, sikap pengikut Instagram yang keterlaluan dengan mengejeknya sebagai hantu dan mendoakan keburukannya telah membuatkan ibunya iaitu Rujinah Sarungin terguris hati lalu menangis.
"Mereka memang selalu ejek saya hantu di Instagram, saya tidak kisah dan peduli sehingga pada minggu lalu ibu saya telefon dan menegur tentang perkara itu.
"Dia sungguh sedih apabila mereka menulis begitu biarpun hanya untuk bergurau. Lebih teruk ada yang mendoakan agar saya tidak boleh berjalan pada satu gambar di Instagram.
"Saya jarang balas komen-komen di Instagram, namun bila ibu saya menangis dan sedih saya jadi marah dan ingin mereka tahu perkara itu tidak sepatutnya berlaku," katanya yang dipetik dari mStar.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, kebanyakkan dari para peminat itu seolah-olah tidak sensitif untuk memikirkan perasaan orang lain sebelum meninggalkan sebarang komen, biarpun dengan niat untuk bergurau.
Foto yang dimuat naik pada Rabu lalu itu memaparkan Adira berpakaian jubah sambil menaiki skuter roda elektrik telah mendapat lebih 60 komen pengikut laman sosial itu.
Kata Adira lagi, dia membalas komen itu bukan berniat untuk bergaduh dengan pengikutnya, namun ingin memberi kesedaran tentang perasaan ibunya yang terasa hati dengan tulisan berkenaan.
"Kalau seorang dua sahaja tidak mengapa, ini tidak... mereka tag kawan-kawan yang lain supaya meninggalkan komen yang buruk-buruk pada gambar saya itu," katanya meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku. -Kedahnews.com