Adun DAP Letak Jawatan Ketua Pembangkang DUN Johor

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau
JOHOR BARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau dilaporkan telah bertindak meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Johor apabila tewas dalam pemilihan barisan jawatankuasa DAP negeri itu.

Dr Boo berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Setiausaha DAP negeri Johor, Gan Peck Cheng.

Adun Skudai itu turut menjelaskan bahawa keputusan itu diambil selepas beliau gagal mempertahankan jawatannya dalam jawatankuasa DAP negeri di Batu Pahat kelmarin.

Dr Boo sebelum ini telah menganggotai Jawatankuasa DAP negeri sejak tahun 1995 dan mengetuai jawatankuasa itu dari tahun 2005 hingga tahun lepas sebelum ditewaskan oleh Anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Sementara itu ketika dihubungi media, Mohamad turut mengesahkan pihaknya telah menerima surat peletakan jawatan Adun Skudai itu sebagai Ketua Pembangkang yang dihantar kepada jurutulisnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kedudukan Dr Boo sebagai ADUN Skudai tidak terjejas dengan perletakan jawatan tersebut. -Kedahnews.com