Agensi Wajib Ada Lesen Khas Tawar Pakej Umrah Mulai Oktober 2016

Gambar Hiasan
MELAKA – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) bakal mewajibkan agensi pelancongan untuk mendapatkan lesen khas bagi menawarkan pakej umrah berkuat kuasa mulai 3 Oktober tahun depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) KPK, Datuk Rashidi Hasbullah ketika mengumumkan perkara itu berkata syarikat yang tiada lesen khas berkenaan akan dibatalkan hak mereka untuk menawarkan pakej umrah.

“Sehingga kini kira-kira 500 syarikat atau agensi pelancongan yang dikenal pasti menawarkan pakej umrah tanpa lesen khas sehingga menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk bagi urusan mendapatkan visa umrah.

“Setakat ini hanya 61 syarikat atau agensi pelancongan tempatan yang memiliki lesen khas berkenaan dan mereka berupaya mendapatkan visa secara terus daripada kedutaan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata syarat mewajibkan pemilikan lesen khas itu merupakan inisiatif Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) ditubuhkan pada 28 Ogos tahun lepas bertujuan menyelaras dan memantau urusan pengendalian pakej umrah.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang bertindak selaku Pengerusi MKSU berkata, harga minimum pakej umrah ialah RM4,900 meliputi pakej standard selama 12 hari 10 malam.

Di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, MKSU membolehkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) membantu pemantauan serta penguatkuasaan terhadap iklan pakej umrah di surau dan masjid seluruh negara.

Mengenai penipuan pakej umrah, Rashidi berkata KPK merekodkan kira-kira 56 kes penipuan pakej umrah oleh syarikat yang berlesen dengan jumlah kompaun meliputi sebanyak RM222,000 dari 2012 hingga Ogos lalu.

Manakala pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula ujar Rashidi, berjaya merekodkan 2,761 kes serupa dengan tuntutan melebihi RM15.7 juta dalam tempoh yang sama.

Katanya, bagi agensi pelancongan tidak berlesen, sebanyak 134 kes telah dirujuk kepada pihak polis dengan nilai kompaun berjumlah RM4.8 juta dalam tempoh 2012 hingga September tahun lepas. – Agensi