Ahli Parti, Penyokong PBB Mahu DUN Bekenu Dikembalikan Semula #PRNSarawak

Program Memperkasakan Parti PBB Cawangan N61 Bekenu
BEKENU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu dituntut kembali oleh majoriti ahli ranting PBB Bekenu setelah DUN berkenaan dipinjamkan kepada SPDP sejak pilihanraya negeri (PRN) Sarawak pada tahun 2006.

Dalam Program Memperkasakan PBB Cawangan N61 Bekenu semalam, ahli parti yang merupakan penduduk tempatan dilapor telah membangkitkan perkara tersebut di Pelancaran Jentera Pilihanraya PBB N61 Bekenu di Dewan Masyarakat di DUN berkenaan.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai turut menyatakan bahawa ahli PBB telah menunjukkan taat setia kepada parti dan Barisan Nasional setiap kali pilihanraya.

"Sudah tiba masanya jentera dipersiapkan dan persiapan tersebut harus permula daripada peringkat 20 ranting PBB Bekenu bagi berdepan pilihanraya akan datang,"

"PBB telah banyak membawa pembangunan dan perubahan lanskap Bekenu dan kejayaan PBB adalah mewujudkan Daerah Subis sebagai daerah penuh,"kata Ahmad yang dipetik dari portal Sarawakiana, semalam.

Menurut Ahmad Lai lagi, PBB adalah dominan di kawasan terbabit dan PBB telah memegang DUN Bekenu sejak 1974 sehingga ia dipinjam kepada SPDP pada tahun 2006.

Ahmad Lai turut memberitahu bahawa cadangan ahli PBB Bekenu menuntut kembali DUN Bekenu akan di ketengahkan kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional agar dipertimbangkan.

Ahmad Lai berucap di hadapan 500 orang daripada 20 ranting PBB N61 Bekenu terdiri daripada Bahagian Bapa, Sayap Pemuda dan Wanita.

Turut hadir Ketua Penerangan PBB Sarawak Datuk Usup Sani Wahap, Kaunselor Jamali Basri serta ketua-ketua ranting PBB Bekenu. -Kedahnews.com