Ahli Perniagaan Beri Kenyataan Palsu Kepada SPRM Diheret Ke Mahkamah


KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Komersial di sini berhubung kesalahan memberi penyataan palsu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, Mohamad Azhan Hamza, 31, yang juga broker kereta dituduh di bawah Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Mengikut pertuduhan, Mohamad Azhan didakwa melakukan kesalahan memberi penyataan palsu kepada pegawai SPRM dalam penyataan di bawah Seksyen 32(2)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 berhubung satu siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

“Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Julai 2014 antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” kata kenyataan tersebut hari ini.

SPRM memberitahu, berdasarkan pertuduhan Mohamad Azhan didakwa memberi penyataan palsu mengenai jumlah kereta yang telah dia jual di sebuah syarikat swasta.

Kata SPRM, jika sabit kesalahan, Mohamad Azhan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya,

“Hakim Norsharidah Awang membenarkan Mohamad Azhan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November 2015 sebagai tarikh sebutan semula kes,” kata SPRM. – Kedahnews.com