Datuk Saifuddin Abdullah |
ALOR SETAR - Akhirnya, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah menunjukan 'belang' sebenar beliau apabila mengisytiharkan diri keluar dari parti dan menyertai PKR hari ini.
Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di ibu pejabat parti baru Saifuddin, di Petaling Jaya.
Saifuddin yang turut hadir pada sidang media itu juga sempat merakamkan penghargaan dan memuji-muji rakan-rakan barunya dalam PKR kerana kesudian mereka menerima beliau sebagai salah seorang anggota parti.
"Terima kasih. Ini adalah keputusan besar bagi orang kecil seperti saya,” katanya yang dipetik dari portal pro-pembangkang, Malaysiakini.
Ketika ditanya tentang sebab beliau memilih PKR dan bukan parti politik lain, Saifuddin menjelaskan bahawa dia sendiri tidak pasti sebabnya berbuat demikian dan hanya mendengar kata "hati"nya yang sebenar.
"Dalam isu ini, saya tidak pasti mengapa hati saya condong kepada PKR meskipun saya tahu ada parti-parti lain yang juga melakukan tugas mereka dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, ramai pihak di peringkat akar umbi UMNO mendesak Saifuddin supaya mendedahkan 'warna sebenar dirinya' dan keluar dari UMNO setelah banyak kenyataan serta pendirian beliau yang bercanggah dengan kehendak dasar perjuangan parti.
Selain itu, Saifuddin juga memaklumkan beliau akan berundur sebagai pengarah eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dalam masa terdekat. -Kedahnews.com