Abdul Aziz Al-Kassar |
SEORANG aktor kacak dari Arab Saudi dilaporkan telah ditangkap oleh pihak berkuasa hanya kerana dikerumuni oleh peminat wanita yang mahu mengambil gambar selfie bersamanya di sebuah pusat beli-belah di Riyadh.
Abdul Aziz Al-Kassar yang merupakan pelakon dan pengacara didakwa telah menimbulkan kekecohan di kalangan peminat wanita yang menyerangnya ketika berada di pusat beli-belah Al Nakheel di sana.
Aktor popular yang berasal dari Kuwait itu dikatakan datang ke Riyadh atas urusan kerja.
Walau bagaimanapun, Aziz secara tidak sengaja telah menarik perhatian peminatnya di situ selepas dia meminta peminatnya memberi saranan ‘pusat beli-belah yang harus diziarahinya’ melalui laman sosial.
Insiden yang berlaku pada jumaat lalu itu memperlihatkan Aziz yang sedang dikerumuni oleh segerombolan peminat wanita yang mahu bergambar bersamanya di situ telah ditarik keluar oleh ahli Suruhanjaya Penggalak Kebaikan dan Pencegahan Maksiat dan ditahan reman.
Aziz dituduh telah membuat kekecohan di khalayak ramai, bercampur dan bergaul dengan wanita bukan muhrim serta menyalahgunakan media sosialnya.
“Saya tidak sangka akan ada seramai itu yang menunggu saya.
“Saya mahu menjelaskan, kehadiran peminat wanita di pusat membeli-belah itu adalah di luar kawalan saya. Sebaik sahaja saya masuk, saya telah dikerumuni oleh mereka semua sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah bilik kecil,” katanya.
Video Aziz ditarik ketika diserbu peminatnya juga tersebar di laman sosial. Walau bagaimanapun, pelakon tersebut telah dibebaskan selepas diikat jamin.
Siasatan masih lagi dijalankan selepas suruhanjaya berkenaan menuduh aktor itu menggunakan laman sosial untuk menarik perhatian peminatnya. – Agensi