Amanah Dakwa PAS Guna Himpunan Fastaqim Serang Parti "Islam"

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil 
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa PAS mempergunakan Himpunan Fastaqim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan sebagai platform untuk memburuk-burukkan parti Islam baru tersebut.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, senario itu membuktikan tujuan Himpunan Fastaqim anjuran PAS yang berbeza dengan Himpunan Bersih 4.0 yang disertai Pakatan Harapan.

“Amanah hadir ke perhimpunan Bersih 4.0 tuntut keadilan untuk rakyat, Himpunan Hijau (Himpunan Fastaqim) pula untuk kutuk Amanah. PAS akan diadili oleh rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS sebelum ini membuat keputusan tidak menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 yang disertai Amanah, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana enggan terlibat dalam perbuatan menimbulkan huru-hara dalam negara.

Berikutan itu, PAS mengadakan perhimpunan besar-besaran secara tersusun dan berpermit dari pihak berkuasa bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin yang disertai puluhan ribu ahli dan penyokongnnya.



Faiz yang juga anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor seterusnya mendakwa PAS kembali menjadi sebuah parti yang bersifat konservatif dan takfiri atau menghukum.

Menurut beliau, wajar sebenar PAS itu kini telah diketahui masyarakat umum dan rakyat yang akan bertindak menghukum parti itu.

“Amanah ditubuhkan antara lain untuk lawan UMNO. UMNO tak serang Amanah sebaliknya PAS yang serang Amanah,” katanya. -Kedahnews.com