Ammar Alfian |
Mungkin benar dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa semenjak dari awal pembabitannya dalam industri seni, pelakon dan model, Ammar Alfian tidak henti-henti terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Terbaharu, aktor berbadan sado ini mengejutkan ramai apabila memuat naik gambar badannya di Instagram yang menampakkan lakaran tatu di bahagian bahu.
Hal itu sedikit sebanyak telah menimbulkan perasaan kurang senang daripada ramai peminatnya khususnya yang beragama Islam.
Bercakap kepada mStar Online, Ammar atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz, 28, berkata dia tidak berniat untuk mencetuskan kontroversi sebaliknya tidak mahu berpura-pura dengan peminatnya.
“Bukan ingin menunjuk-nunjuk atau pun tidak peka terhadap keadaan sekeliling tetapi tidak mahu berpura-pura.
“Ia juga bukan bererti saya seorang yang jahat hanya kerana bertatu,” jelasnya.
Menurut Ammar, perbuatan melakar tatu itu dilakukan selepas dia kecewa kerana putus cinta dengan aktres, Puteri Sarah beberapa tahun lalu.
Pada masa sama, Ammar mengakui sedar akan kesilapannya itu dan telah menyesal terhadap perbuatannya lampaunya melakar tatu tersebut.
“Bagaimanapun saya menyesal dan ia satu kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya yang dalam perancangan membuang tatu berkenaan. – Kedahnews.com