Tinjauan di pusat membeli belah Ampang Park yang akan dirobohkan ekoran projek pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park. - Foto NSTP/Saddam Yusoff |
KUALA LUMPUR – Ampang Park, pusat beli-belah terawal yang beroperasi sepenuhnya pada Mac 1973 bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park iaitu stesen bawah tanah.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, stesen terbabit akan berintergrasi secara fizikal dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park sedia ada bagi membolehkan penumpang perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bertukar ke perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan sebaliknya di stesen itu.
Beliau berkata, tanah pusat beli-belah Ampang Park akan diambil oleh kerajaan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 dan bangunan yang berada di atas tanah itu perlu diroboh untuk pembinaan stesen itu.
“Proses pengambilan tanah dijalankan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan bukan MRT Corp.
“Selepas tanah yang diperlukan dikenalpasti, senarai lot tanah berkenaan akan diwartakan dan disiarkan mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, senarai itu sudah diwartakan dan disiarkan pada 2 September lalu dan proses selanjutnya adalah penyerahan notis Borang E mengenai pengambilan balik tanah kepada semua pemilik tanah dilakukan JKPTG.
“MRT laluan SSP laluan projek kedua Projek MRT Lembah Klang membabitkan laluan sepanjang 52.2 kilometer dari Sungai Buloh ke Putrajaya.
“Kerja pembinaan ini dijangka bermula pada suku kedua tahun depan dan dijangka beroperasi dalam suku kedua 2022,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku bantahan daripada pemilik tanah, Najmuddin berkata, MRT Corp akan mengikut prosedur digunakan dalam MRT laluan Sungai Buloh-Kajang yang mana pihak mereka akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkenaan.
“Proses pendengaran untuk rayuan oleh pihak berkenaan dan proses khidmat nasihat akan diadakan selari dengan proses JKPTG.
“Di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, semua tanah yang diambil balik kerajaan akan dibayar pampasan dan semua yang terbabit boleh membuat tuntutan,” katanya. – myMetro