Anak Bekas Tentera Diseru Manfaatkan Peluang Disedia Kerajaan

KOTA KINABALU - Anak bekas anggota tentera perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang disediakan kerajaan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka dan pembangunan negeri ini, kata Anggota Parlimen Datuk Raimie Unggi.

Raimie, yang juga pengerusi Beliawira Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sabah, berkata belia perlu melibatkan diri dengan program pembangunan Sabah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016 pada Jumaat lepas.

"Anak-anak bekas anggota tentera perlu memanfaatkan bantuan serta peluang yang disediakan kerajaan, terutama sokongan yang diberi kepada usahawan sebagai suatu cara untuk mengatasi kemiskinan," katanya pada mesyuarat jawatankuasa baharu (PVATM) Sabah di sini, hari ini.

Mengenai peranan PVATM, beliau berkata persatuan itu merancang mendekatkan diri dengan anak bekas anggota tentera di seluruh negeri ini melalui satu program yang akan dilancarkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) awal tahun depan.

Katanya program itu bertujuan memastikan kebajikan keluarga bekas anggota tentera sentiasa terjaga dan tidak dipinggirkan dalam proses pembangunan negara.

Persatuan itu menyasarkan 10,000 belia menganggotainya menjelang 2017. - BERNAMA