Tharishini (tengah) bersama ibu bapanya pada sidang media semalam |
ALOR SETAR - Seorang anak Kedah mencipta kejutan apabila terpilih mewakili Malaysia ke Forum Belia Unesco (Unesco Youth Forum) ke-9 di Paris, Perancis dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Tharishini Chandra Segaran, 17, dari Anak Bukit, di sini, tidak menyangka tindakannya hanya cuba-cuba memohon menyertai forum itu melalui Facebook akhirnya menjadi kenyataan.
“Mulanya saya menghantar permohonan melalui Facebook Unesco dengan menyatakan pengalaman yang saya miliki sewaktu di sekolah.
“Beberapa hari kemudian saya dimaklumkan terpilih untuk menyertai forum itu dan diminta mendaftar diri pada 25 Oktober ini,” katanya kepada media hari ini.
Menurutnya, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk membincangkan dua isu dalam negara iaitu pendidikan dan kesihatan.
“Kadar buta huruf di Malaysia adalah terlalu rendah, namun ia tidak boleh dipandang ringan dan perlu fikir bagaimana nak atasi kelemahan itu,” katanya.
Tharishini berkata, perkara itu bukan sekadar perbincangan semata-mata tetapi perlu dilaksanakan secara berkesan di setiap negara.
“Isu kesihatan pula wajar diberi keutamaan kerana 43 peratus penduduk lebih gemar mendapatkan perkhidmatan hospital dan klinik kerajaan berbanding swasta disebabkan faktor harga.
“Jurang perbezaan ini harus diatasi supaya sektor kerajaan dan swasta dapat bergandingan memberi perkhidmatan sewajarnya kepada pesakit,” katanya.
Anak sulung dari tiga beradik itu adalah pelajar perubatan di Kolej Perubatan Manipal Melaka dan sedang mengikuti kursus pertukaran pelajar dengan sebuah universiti di India selama dua setengah tahun.
Walaupun menjadi cabaran kerana terpaksa berhadapan dengan ratusan wakil negara lain, Tharishini sentiasa mendapat sokongan ibunya, Umarani K A Noohan, 45, dan bapa, Chandra Segaran P.Chinnasamy, 51.
Difahamkan, Forum Belia Unesco bertujuan mengukuhkan hubungan belia di seluruh dunia dan menangani cabaran yang dihadapi wanita muda dan lelaki pada masa kini.
Sumber: Sinar Harian