MAHDZIR KHALID (kiri) menerangkan sesuatu kepada Maziatunazna Bidin @ Ibrahim (kanan) semasa mengunjungi wanita tersebut di Kampung Kodiang Lama Luar, Kubang Pasu, Kedah, semalam. Gambar: BERNAMA |
KUBANG PASU – Anak tunggal kepada Allahyarham Shahidan Saad, 52, yang terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam baru-baru ini sudah mula bertanya di mana ayahnya?
Isteri Shahidan, Maziatunazna Bidin @ Ibrahim, 44, berkata, anaknya, Mohamad Afiq Amzar, 3, sering mengemukakan soalan tersebut seolah-olah mula merindui ayahnya itu.
“Buat masa ini saya hanya boleh cakap ayah sembahyang (solat) dan tidak balik lagi.
“Bagaimanapun saya akan cuba untuk memberitahu sedikit demi sedikit bagi membolehkan dia mengetahui keadaan sebenar,” katanya ketika ditemui Kampung Kodiang Lama Luar di sini kelmarin.
Maziatunazna sebelum itu dikunjungi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menziarah dan menyampaikan bantuan kepada keluarga tersebut.
Beliau menyampaikan ganjaran terbitan, pencen terbitan, ganjaran cuti rehat dan pencen tanggungan serta bantuan mengurus jenazah kepada keluarga Allahyarham.
Shahidan yang bekerja selama 18 tahun sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Bendahara di sini layak mendapat ganjaran tersebut di bawah Akta Pencen 1980.
Maziatunazna yang merupakan seorang suri rumah berkata, buat masa ini dia masih belum mempunyai sebarang perancangan melainkan memberi tumpuan kepada anaknya.
Pada masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas pemberian sumbangan tersebut.
“Selain itu, tidak dilupakan juga kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan kepada keluarganya selama ini,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata, terdapat dua kakitangan Kementerian Pendidikan terlibat dalam insiden tersebut iaitu Shahidan dan Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37.
Jelasnya, urusan pemberian pencen dan sumbangan terhadap keluarga mangsa tragedi itu akan disempurnakan selepas keluarganya pulang ke Kelantan dari Mekah.
“Saya sendiri akan melawat keluarga tersebut dalam masa terdekat,” katanya.
Sumber: Utusan