PUTRAJAYA – Kelab Kartunis Malaysia (KKM) akan menganjurkan satu majlis penganugerahan khas ‘Anugerah Kampung Boy 2015’ bagi menghargai dan mengiktiraf para kartunis tanah air.
Penganugerahan tersebut bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan dijadualkan berlangsung pada 12 Oktober 2015, jam 8.00 malamdi Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya.
Memetik dari sebuah portal hari ini, ‘Anugerah Kampung Boy 2015’ dinamakan sempena watuk kartun terkenal nukilan kartunis tersohor negara, Datuk Lat atau Datuk Mohammad Nor Khalid.
Datuk Lat yang telah berkecimpung dalam arena seni lukis kartun tanah air sejak setengah abad yang lalu turut dikenali sebagai tokoh kartunis yang memperjuangkan seni lukis kartun Malaysia dan mempunyai pengaruh tersendiri dalam melahirkan pelapis kartunis di negara ini.
Selain itu, majlis anugerah yang julung kali diadakan ini bertujuan menyampaikan penghargaan dan pengiktirafan kepada para kartunis tanah air yang sejak berdekad lama telah menjadi medium pengantara kepada masyarakat sebagai penghibur, pencerita, pengkritik sosial dan penyampai maklumat.
Kini sudah tiba masanya bakat, kegigihan dan perjuangan mereka dalam memartabatkan seni lukis kartun yang beridentitikan Malaysia diberi pengiktirafan tertinggi, setaraf dengan cabang seni lain di negara ini.
Seramai lapan kartunis ternama tanah air bakal diberikan anugerah mengikut kategori masing-masing, selepas dipilih oleh juri yang mewakili KKM dalam membuat pemilihan.
Lapan kategori tersebut ialah; Anugerah Kartunis Muda Berbakat, Anugerah Watak Kartun Animasi, Anugerah Kartunis Editorial, Anugerah Kartunis Malaysiana, Anugerah Kartunis Terbaik, Anugerah Kartunis Lagenda, Anugerah Juri dan Anugerah Perdana Kampung Boy 2015. -Kedahnews.com