APMM Selamatkan 2 Pelancong Asing, Kapal Layar Terbakar Di Langkawi

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan dua pelancong warga Australia dan Denmark selepas kapal layar mereka terbakar berhampiran Pulau Lalang, Langkawi tengah hari semalam. - Foto myMetro Online
ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan dua pelancong warga Australia dan Denmark selepas kapal layar mereka terbakar berhampiran Pulau Lalang, Langkawi tengah hari semalam.

Pengarah Operasi Maritim Wilayah Utara, Kapten Maritim Salim Ahmad berkata mangsa Joseph Mc Donnell, 69, dari Australia dan Nancy Anita Pedersen,50, ditemui terapung di tempat kejadian selepas kapal layar dinaiki mereka terbakar keseluruhannya kira-kira 1.30 tengah hari.

“Sebaik menerima maklumat, kita arahkan bot peronda dari Daerah Maritim 1, Langkawi untuk ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kedua-dua mangsa telah dihantar ke Balai Polis Kuah untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, Salim berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan di laut boleh terus menghubungi APMM di talian 999 atau 04-96662750 (bilik operasi Daerah Maritim 1, Langkawi). – BERNAMA