Arul Sahut Cabaran Tony Pua Berdebat

PRESIDEN dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy
Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menyahut cabaran Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tony Pua untuk berdialog menerusi satu program bual bicara berkenaan kes yang melibatkan syarikat pelaburan negara itu.

Tony yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dan pemimpin DAP sebelum ini meluahkan pendapat, program bual bicara secara langsung adalah cara terbaik dalam menjelaskan isu 1MDB.

“Saya menerima cabaran Tony Pua dan menantikan jawapan daripadanya,” kata Arul dalam satu kenyataan pada Khamis.

Arul bagaimanapun berkata, Tony perlu meletak jawatan beliau dalam PAC terlebih dahulu untuk mengelak pertembungan kepentingan diri.

“Seperti mana yang diketahui, Tony Pua merupakan Ahli PAC yang sedang melakukan siasatan terhadap 1MDB.

“Bagi mengekalkan integriti dalam siasatan PAC dan mengelak sebarang pertembungan kepentingan peribadi, Tony Pua perlu terlebih dahulu meletak jawatan dalam PAC,” katanya.

Tambah Arul, walaupun Tony sanggup berbuat demikian namun beliau tetap tidak boleh menjadi hakim mahu pun juri yang menentukan hukuman.

“Saya percaya dia mempunyai keberanian untuk membuat perkara yang betul dan sanggup meletak jawatan dalam PAC supaya ‘tiada tangan terikat’ ketika kami berdua muncul dalam program bual bicara secara langsung itu,” katanya. -Kedahnews.com