Assalamualaikum Faizal Tahir Rangkul Anugerah Lagu Terbaik APM2015

Faizal Tahir - Assalamulaikum
Kemunculan semula artis bervokal tinggi, Faizal Tahir menerusi Assalamualaikum ternyata bawa tuah dalam kerjaya seninya apabila berjaya merangkul anugerah Lagu Terbaik Anugerah Planet Muzik 2015 (APM 2015), dalam acara berprestij itu di Singapura malam Jumaat.

Sebelum ini, antara penyanyi Malaysia yang pernah mendapat pengiktirafan bagi kategori tertinggi adalah Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Biarlah Rahsia pada tahun 2007 dan Hafiz Suip untuk lagu Awan Nano selepas empat tahun kemudian.

Faizal yang merupakan naib juara program One in a Million musim pertama turut membawa pulang trofi Lagu Malaysia Terbaik sekali gus menewaskan impian empat lagu lain iaitu Hakeleh oleh SonaOne, Malaikat (Hazama), Malam Ini Kita Punya (Bunkface) dan Mewangi (Akim & The Majistret) untuk merangkul gelaran itu.

Namun, memetik dari portal The Rakyat Post, karyawan berusia 36 tahun ini tidak hadir untuk menerima trofi berkenaan sebaliknya dia diwakili oleh salah seorang komposer dan penulis lirik Assalamualaikum, Audi Mok.

Anak didik Faizal Tahir, Elizabeth Tan yang juga merupakan salah seorang penyanyi di bawah syarikat rakamannya, Faithful Music juga berjaya memenangi kategori Artis Wanita Baharu Terbaik menerusi lagu popularnya, Knock Knock.

Penyanyi kesayangan No,1 negara, Siti Nurhaliza juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila menang Anugerah Kolaborasi Terbaik Artis, bersama penyanyi bersuara gemersik Chakra Khan dari Indonesia menerusi lagu Seluruh Cinta.

Sementara itu, bagi kategori Artis Lelaki Terbaik dimenangi oleh Judika untuk lagu Apakah Ini Cinta. Manakala, bagi kategori Wanita Terbaik dirangkul oleh Raisa menerusi lagu Jatuh Hati. Kedua-dua penyanyi ini berasal dari Indonesia.

Menerusi kategori popular pula, APM 2015 terus menyaksikan kemaraan bekas juara Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah apabila memenangi banyak anugerah dalam empat kategori menerusi lagu popularnya #awakkatmane.

Piala yang berjaya dirangkul penyanyi hitam manis ini adalah bagi kategori Ikon Media Sosial, Artis Singapura Paling Popular serta Lagu Singapura Paling Popular dan Lagu Paling Popular APM.

Buat pertama kalinya, APM mengiktiraf artis yang berjaya di peringkat antarabangsa menerusi Anugerah Rentas Planet. Insan yang bertuah membawa pulang trofi itu adalah penyanyi kelahiran Indonesia, Anggun Cipta Sasmi atau dikenali Anggun. -Kedahnews.com