Bajet 2016: Sarawak Mungkin Dapat Peruntukan Besar Kali Ini - Adun

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau
MIRI - Sarawak kemungkinan akan mendapat peruntukan besar dalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober ini demi kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata seperti pembentangan bajet lalu, Sarawak mendapat peruntukan besar bagi tujuan pembangunan infrastruktur khasnya di luar bandar.

“Saya yakin pada pembentangan Bajet 2016 nanti Perdana Menteri akan mengumumkan lebih banyak peruntukan untuk Sarawak bagi membangunkan kawasan luar bandar yang juga menjadi keutamaan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dennis berkata kemudahan infrastruktur seperti akses jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di kawasan pedalaman masih menjadi fokus kerajaan negeri.

“Dengan penurunan kuasa kerajaan pusat kepada kerajaan negeri, saya yakin bahawa ia akan memberi impak sangat besar kepada Sarawak khasnya dalam melaksanakan projek-projek kemudahan asas,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah menghantar permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan projek-projek yang pada dasarnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Harapan kita semua projek yang dirancang dalam Bajet 2016 khasnya di kawasan luar bandar dilaksanakan secara efektif dan sampai kepada kumpulan sasar,” jelasnya.

Katanya untuk rekod, konstituensi Telang Usan menerima peruntukan hampir RM200 juta bagi pelaksanaan projek dan harapan beliau kawasan itu bakal menerima peruntukan lebih besar.

Menurutnya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga kemungkinan disentuh dalam pembentangan bajet dan antara usaha kerajaan membantu meringankan beban rakyat.

“Saya mewakili rakyat luar bandar berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana melaksanakan BR1M yang membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah,” jelasnya.

Jumlah BR1M pada tahun depan kemungkinan akan ditambah untuk semua peringkat penerima berpandukan kepada kedudukan kewangan semasa negara.

“Kerajaan menambah jumlah bantuan itu bagi membantu rakyat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya. 

Sumber: UB