#Bajet2016: 70 Peratus Kos Diguna Untuk Pengambilan Tanah


ALOR SETAR - Sebanyak 70 peratus daripada peruntukan RM320 juta dalam Bajet 2016 untuk projek Bandaraya Getah di Padang Terap akan digunakan untuk kerja-kerja pengambilalihan tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, baki peruntukan akan digunakan untuk penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

"Projek Rubber City Kedah (Bandaraya Getah) termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11, jikalau duit itu sudah habis, insya-Allah kita akan minta lagi dalam Bajet 2017 untuk menyempurnakan infrastruktur," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Kira-kira 1,500 ekar tanah di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap dijangka akan digunakan untuk projek Bandaraya Getah itu dengan kerja-kerja pengambilalihan tanah akan bermula seawal Januari 2016.

Bandaraya Getah di Kota Putra, Padang Terap menerusi aku janji Barisan Nasional (BN) Kedah, dilihat mampu menarik minat generasi muda menceburi sektor pertanian dan industri dengan menggunakan teknologi tinggi.

Pelbagai industri huluan dan hiliran juga turut dirancang bagi menjadikan kawasan Bandaraya Getah maju seperti kawasan perindustrian bertekonologi tinggi. - Bernama