#Bajet2016: Mohd Najib Bentang Pelbagai Insentif


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan bajet yang sudah pastinya seimbang dan praktikal, yang menawarkan pelbagai insentif bagi merangsang pelaburan domestik, mencergaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pasaran saham.

Bajet 2016 turut meliputi projek bernilai berbilion ringgit yang membuka peluang besar untuk syarikat infrastruktur dan pembinaan, suatu usaha yang pastinya akan memberi dorongan kepada sektor perniagaan dalam tempoh jangka panjang dalam persekitaran luar yang mencabar.

Najib yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan pelaksanaan projek Cyber City Center bernilai RM11 bilion di Cyberjaya, bandar KLIA Aeropolis bernilai RM7.0 bilion serta Bandar Raya Getah bernilai RM320 juta di Kedah, kesemuanya berpotensi mencetuskan dan meningkatkan aktiviti korporat, termasuk untuk sektor Bumiputera.

Projek utama di Kuala Lumpur, projek penyuraian trafik di Jalan Tun Razak bernilai RM900 juta, menerusi usaha sama strategik awam dan swasta, sudah pasti merupakan berita baik untuk firma pembinaan.

Najib turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa Khazanah Nasional Bhd melabur RM6.7 bilion untuk menjayakan sembilan projek berimpak tinggi dalam negara dalam pelbagai sektor, selain memperuntukkan RM500 juta sebagai modal teroka dan dana ekuiti swasta.

Bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta serta memastikan manfaat turut dinikmati semua negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, RM142 juta diperuntukkan untuk membangunkan Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak dan Jeti Minyak Sawit di Sandakan, Sabah, bernilai RM20 juta.

Selain itu, RM42 juta akan dibelanjakan untuk membangunkan Lapangan Terbang Mukah di Sarawak selain menaik taraf lapangan terbang Kuantan dan Kota Bharu manakala kajian daya maju akan dilaksanakan bagi memanjangkan landasan di Lapangan Terbang Batu Berendam Melaka.

Bajet bertema ‘Mensejahterakan Kehidupan Rakyat’ membabitkan peruntukan RM267.2 bilion berbanding peruntukan dipinda sebanyak RM260.7 bilion pada 2015, disediakan ketika kedudukan ekonomi sangat mencabar termasuk kejatuhan ketara harga minyak mentah, kelembapan ekonomi dunia dan penyusutan nilai ringgit.

Namun, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ternyata menjadi penyelamat dan menambah hasil menerusi regim percukaian yang lebih cekap daripada kira-kira 400,000 syarikat, yang mewakili 90 peratus pematuhan GST.

Perdana Menteri berkata parti Pembangkang yang mengkritik hebat GST sebelum ini, tanpa malu-malu lagi mengguna pakai GST dalam dokumen bajet masing-masing.

Menerusi perbelanjaan pembangunan, sektor ekonomi bakal menerima bahagian terbesar, sebanyak RM30.1 bilion.

Untuk tahun depan, kutipan hasil Kerajaan Pusat dijangkakan sebanyak RM225.7 bilion, peningkatan sebanyak RM3.2 bilion berbanding 2015.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan ke atas sektor kimia, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan industri peranti perubatan serta perkhidmatan.

“Daripada jumlah itu, RM730 juta diperuntukkan untuk dana di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia,” kata Najib.

Najib berkata tahun depan aktiviti pelaburan doemstik akan dipergiat, dengan sumbangan kepada KDNK dianggarkan pada 26.7 peratus, dipacu oleh peningkatan dalam pelaburan swasta sebanyak RM218.6 bilion dan disokong oleh pelaburan awam sebanyak RM112.2 bilion.

Najib yang berbaju Melayu berwarna ungu terung, membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, bajet ketujuh beliau sejak mengambil alih kepimpinan pentadbiran.

Bajet 2016 yang merupakan manifestasi Rancangan Malaysia Kesebelas, bajet pertama dalam siri lima bajet hingga transformasi Malaysia sebagai ekonomi maju berpendapatan tinggi.

Dalam usaha mencergaskan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang dijangka menyumbang sebanyak 41 peratus kepada KDNK pada 2020, Najib mencadangkan lima insentif, termasuk penubuhan Dana Transformasi Teknologi PKS berjumlah RM200 juta menerusi SME Bank bagi menyediakan pinjaman mudah pada kadar 4.0 peratus.

Kerajaan juga akan menyediakan Skim Pembiayaan PKS patuh Syariah RM1.0 bilion sehingga 31 Dis, 2017, kata Najib.

Selain itu, PKS yang menanggung perbelanjaan projek R&D sehingga RM50,000 bagi setiap tahun penilaian, layak menuntut pengecualian cukai berganda automatik bagi tahun-tahun penilaian 2016 hingga 2018.

Bagi memperkasa keusahawanan dan meningkatkan inovasi, RM35 juta diperuntukkan kepada MaGIC, sebagai Hab Keusahawan dan Inovasi Serantau Utama, dan RM30 juta untuk melaksanakan beberapa program belia seperti Komuniti Keusahawan Global, BAHTERA, GREAT, 1MET, Pertandingan Inovasi Kebangsaan dan projek perintis Coding di sekolah.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga akan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk mewujudkan hab teknologi kompetitif negara di rantau ini.

Najib berkata bagi mengukuhkan eksport dan ekonomi, kerajaan akan meningkatkan sokongan dengan menyediakan RM235 juta untuk MATRADE bagi melaksanakan Program Promosi 1Malaysia, Dana Perkhidmatan Eksport dan Dana Promosi Eksport.

Matrade dan SME Corp juga akan meningkatkan kapasiti PKS dan syarikat tahap pertengahan untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan.

Bank Negara Malaysia juga akan menyediakan kemudahan swap kredit Ringgit-Reminbi untuk bank tempatan mempelbagaikan kegunaan mata wang asing dalam transaksi dagangan, kata Najib.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia sehingga ini sudah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas yang meliputi enam perjanjian di peringkat serantau dan tujuh perjanjian dua hala.

Bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), perdana menteri berkata kerajaan bersetuju pada dasarnya, namun keputusan akhir akan dibuat oleh Parlimen.

Kesemua 12 negara TPPA yang mempunyai penduduk seramai 800 juta dengan KDNK US$27.5 trilion, akan membuka lebih banyak pasaran dan peluang baharu untuk Malaysia.

Dalam merangka dasar yang bersesuaian dalam kedudukan ekonomi semasa, Najib berkata kerajaan mencadangkan beberapa insentif cukai untuk pengeluaran makanan, yang dilanjutkan sehingga 2020.

Antara insentif tersebut ialah syarikat yang melabur dalam anak syarikat yang melaksanakan projek pengeluaran makanan akan menerima pengurangan cukai bersamaan jumlah yang dilabur.

Syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran juga akan diberikan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun.

Najib berkata kerajaan juga mempromosi dan menggalakkan syarikat untuk meningkatkan penggunaan teknologi seperti mengguna pakai sistem binaan berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan menyediakan RM1.2 bilion untuk projek jalur lebar luar bandar; Infrastruktur ‘National Fiber Backbone’; jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut, bagi meningkatkan infrastruktur komunikasi negara. – BERNAMA