Banjir: KADA Minta Lebih 2,000 Petani Pasir Puteh Tanam Padi Ikut Jadual

Gambar Hiasan
PASIR PUTEH – Lebih 2,000 petani yang mengerjakan 4,968 hektar tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pasir Puteh diminta menabur benih awal bulan depan untuk mengelak tanaman musnah jika banjir berlaku hujung Disember ini.

Anggota Lembaga Pengarah KADA, Zawawi Othman berkata KADA sudah menetapkan jadual musim kedua tanaman padi tahun ini mulai 1 Nov yang mana air akan dipam ke sawah.

“Jika terdapat di kalangan mereka menanam lewat dari tarikh itu kemungkinan tanaman padi mereka akan tenggelam dan musnah akibat banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat berjumlah RM20,000 kepada 200 petani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Cherang Rotan di sini, hari ini.

Zakat berkenaan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan PPK Cherang Rotan.

Zawawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak berkata pada akhir tahun lepas ramai petani di Pasir Puteh mengalami kerugian besar akibat tanaman (anak padi) ditenggelami banjir kerana mereka lewat menabur benih. – BERNAMA