Waris merayu supaya arahan murid tidak dibenarkan memakai songkok ditarik balik. |
POKOK SENA - Ibu bapa sebuah sekolah rendah, di sini, merayu kepada pihak sekolah supaya menarik balik arahan murid tidak dibenarkan memakai songkok ke sekolah.
Menurut waris, sebelum ini pemakaian songkok tidak menjejaskan sebarang aktiviti malah mendidik anak-anak mereka mendekatkan diri dengan agama.
Seorang waris dikenali nama Ibrahim berkata, dia kecewa selepas mendapat makluman daripada anaknya bahawa mereka tidak dibenarkan lagi memakai songkok ke sekolah berkuatkuasa beberapa hari lalu.
Katanya, masalah itu tidak pernah timbul sebelum ini dan ibu bapa juga turut mengalu-alukan anak mereka sekiranya mahu memakai kopiah ke sekolah.
"Bagaimanapun kami sebagai waris di sekolah ini sungguh terkejut apabila mendapat arahan supaya murid di sekolah ini tidak lagi dibenarkan memakai songkok ke sekolah. Saya juga difahamkan bahawa guru agama yang mengajar di sekolah itu turut tidak dibenarkan memakainya.
“Ibu bapa sedih jika arahan itu adalah benar dari pihak sekolah dan meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) turut masuk campur bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.
Menurut Ibrahim, sebelum ini pun ramai pengawas sekolah turut memakai songkok dan ini membawa imej yang baik.
“Oleh itu kami mahu mendapatkan penjelasan, adakah arahan itu dari Kementerian Pelajaran hingga menyebabkan anak-anak kami tidak dibenarkan memakai songkok sedangkan murid sekolah lain masih lagi memakainya.
“Memang memakai kopiah adalah sunat tetapi ia merupakan sunnah Nabi SAW yang perlu dididik kepada murid selagi tidak mengganggu aktiviti mereka di sekolah,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan akan mengadakan perjumpaan dengan guru besar sekolah dalam masa terdekat.
Katanya, pihaknya bimbang masalah itu berlaku disebabkan salah faham di antara pihak sekolah dan waris di sekolah berkenaan.