Bekas Naib Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa |
KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berkuatkuasa 1 November ini.
Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, pelantikan itu keyakinan GMMF ke atas kemampuan pemimpin PAS itu memperkasakan konsep kesederhanaan dalam negara.
“Dengan pelantikan itu, GMMF yakin dalam meneruskan usaha untuk mengukuhkan perkaitan kesederhanaan dalam konteks negara ini.
“Yayasan (GMMF) akan bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkepentingan dalam merealisasikan pengoperasian Deklarasi Langkawi mengenai pergerakan kesederhanaan global,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut kenyataan itu, Nasharudin waktu ini merupakan Pengerusi Yayasan Nassar dan terlibat aktif dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta merupakan Ahli Majlis Hubungan Islam Cina (CICR).
Beliau juga bekas Naib Presiden PAS bagi penggal 2005-2011 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Yan dari tahun 1999 hingga 2004 dan Ahli Parlimen Bachok dari 2008-2013.