Bendung Penyakit Anjing Gila, Kedah Lupus 1,626 Anjing Hingga Kini


Bagi membendung penularan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies di Kedah, Jabatan Veterinar negeri  melupuskan sebanyak 1,626 ekor anjing liar di negeri ini setakat ini.

Selain itu, jabatan berkenaan turut memberi vaksin kepada 2,010 ekor anjing  di seluruh negeri ini, kata Pengarahnya Dr Kamaliah Ghazali.

"Sehingga kini, sebanyak 18 ekor anjing dikesan positif rabies dengan 17 daripadanya adalah anjing liar manakala seekor adalah anjing peliharaan. Kesemua anjing ini dilupuskan," katanya semalam.

 Beliau berkata pihaknya turut mencatatkan 42 kes gigitan anjing terhadap manusia di Kedah setakat ini tetapi tiada kes jangkitan rabies kepada manusia dilaporkan setakat ini.

Langkah berkenaan diambil susulan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengisytiharkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sebagai negeri dilanda penularan penyakit anjing gila baru-baru ini.

Mengenai kawalan penularan penyakit  itu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Dr Kamaliah berkata Jabatan Veterinar Kedah menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain di sempadan negara.

"Pihak Jabatan (Veterinar Kedah) membuat pemantauan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa di sempadan untuk mendapatkan maklumat tentang anjing-anjing liar di kawasan terbabit," katanya.

Minggu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata kerajaan negeri sedang menimbang untuk meminta kerjasama Thailand membendung kemasukan anjing liar daripada negara itu menerusi sempadan bersama negara.

Rabies ialah sejenis penyakit zoonosis disebabkan Lyssavirus yang boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan anjing yang dijangkiti rabies dan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh daripada haiwan yang dijangkiti rabies. – Bernama