Benih Padi Habis Musnah, 30 Petani Di Kuala Nerang Rugi Akibat Banjir

Petani Kampung Lubuk Perung menunjuk sawah mereka tenggelam selepas berlakunya hujan lebat, baru-baru ini.
KUALA NERANG - Seramai 30 petani di Kampung Lubuk Perung, Mukim Tekai Kiri kerugian selepas banjir yang melanda menyebabkan sawah mereka ditenggelami air.

Petani memaklumkan banjir itu berlaku selepas hujan lebat baru-baru ini menyebabkan benih padi yang baru ditabur dibawa arus air.

Petani, Ibrahim Abd Rahman, 60, berkata, petani di kawasan itu baru sahaja membajak sawah mereka dan menabur benih padi untuk musim tanaman pada kali ini.

Bagaimanapun selepas beberapa hari, sawah mereka yang baru disemai dengan anak padi telah dipenuhi air selepas hujan lebat berlaku Khamis lalu hingga merosakkan semaian itu.

“Selepas membajak sawah, saya terus menabur benih padi supaya selamat dari musim hujan sekarang ini. Bagaimanapun selepas menabur beberapa hari saja hujan lebat menyebabkan semaian padi saya turut dibawa oleh air.

“Banjir itu menyebabkan saya mengalami kerugian kerana terpaksa membajak semula serta membeli benih padi berharga RM22 setiap guni. Saya terpaksa mengeluarkan beratus ringgit lagi supaya dapat memulihkan kembali sawah ini sebelum menanam padi semula,” katanya yang mengusahakan satu hektar sawah.

Bagi Ramli Ahmad, 62, pula berkata, dia terkejut selepas melihat sawahnya dipenuhi air.

Menurutnya, banjir itu menyebabkan dia kerugian beratus ringgit kerana terpaksa memulihkan kembali sawahnya yang baru disemai dengan benih padi.

“Banjir ini menyebabkan kerja sawah kami akan menghadapi masalah kerana terpaksa menunggu giliran traktor untuk membajak semula. Kami juga terpaksa membeli semula benih padi berharga RM22 jenis biasa dan RM120 bagi jenis CL setiap guni.

“Setiap sehektar petani memerlukan sebanyak enam guni untuk semaian padi di sawah mereka dan ini akan membebankan lagi kepada pesawah. Sebelum ini kami menjangka benih padi akan tumbuh cepat sebelum musim hujan turun tetapi sangkaan kami telah meleset,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kampung Lubuk Perung, Abu Bakar Saud berkata, masalah banjir itu berlaku kerana saliran di kawasan itu sudah lama tidak dibaiki.

Menurutnya, banjir itu menyebabkan air di dalam sawah lambat untuk keluar ke sungai berdekatan kerana sistem saliran yang wujud sejak dahulu lagi kurang berfungsi. 

"Ini menyebabkan sawah petani di kawasan itu dikenangi oleh air hingga beberapa hari.

“Oleh itu saya meminta agensi kerajaan yang berkenaan dapat membaiki sistem saliran di kawasan ini dan memohon supaya Mada tidak mengeluarkan air dari Empangan Pedu terutamanya semasa hujan lebat kerana bimbang air di kawasan sawah itu akan sukar mengalir ke sungai utama,” katanya.

Sumber: Sinar Harian