Bersih 2.0 Dakwa Pesilat Hanya Layak Masuk "Bakul Sampah"?


KUALA LUMPUR – Golongan pesilat hanya layak masuk `bakul sampah’ sejarah Malaysia?

Demikian sindiran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) ke atas pertubuhan silat Malaysia kerana menyatakan kesediaan untuk berperang andai maruah Islam dan Melayu dihina.

BERSIH 2.0 yang merupakan pertubuhan pro-pembangkang mendakwa golongan pesilat akan masuk `bakul sampah’ sejarah negara kerana kenyataan bersedia untuk berperang jika maruah Melayu dihina kononnya satu ugutan untuk menjejaskan sistem demokrasi.

Sehubungan itu, BERSIH 2.0 mengutuk Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pernah mengisytiharkan silat sebagai benteng pertahanan negara ketiga selepas polis dan angkatan tentera.

“Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Ali Rustam berkata pertubuhannya sedia ‘berperang’ sekiranya dicabar. Perdana Menteri sendiri turut mengisytiharkan silat sebagai benteng pertahanan negara ketiga selepas polis dan angkatan tentera,” tegas kenyataan itu hari ini.

BERSIH 2.0 turut mendakwa golongan pesilat cuma proksi-proksi ultra Melayu yang bertujuan menggugat amalan demokrasi dan menjejaskan keamanan Malaysia bagi mempertahankan kedudukan pemerintah negara.

Justeru, BERSIH 2.0 mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Presiden Pesaka kerana membuat ancaman serius terhadap keamanan dan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Ugutan sedemikian adalah ancaman kepada demokrasi dan tuntutan perhimpunan BERSIH 4 hujung Ogos lalu. Mereka yang cuba menjejaskan demokrasi dengan ancaman dan ugutan keganasan pastinya akan terhantar ke `bakul sampah’ sejarah,” katanya. -Kedahnews.com