Besan Ahmad Zahid dari Indonesia, Chairul Anhar |
Kisah majis perkahwinan anak lelaki Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi nampaknya cuba diputar belit portal propembangkang dengan pelbagai tohmahan jahat hanya bagi menyemai kebencian rakyat.
Ditambah pula kisah itu asalnya didedahkan seorang penulis blog tidak terkenal tetapi berlatar belakang UMNO yang tentunya dianggap sumber sahih apatah lagi blogger tersebut mengenali rapat Menteri Dalam Negeri itu.
Namun portal tempatan AgendaDaily mendedahkan sisi lain yang tentunya tidak akan dilaporkan oleh mana-mana media antikerajaan menerusi temubual khas bersama-sama besan Ahmad Zahid sendiri pada Jumaat.
Kata Chairul Anhar, hanya yang mempunyai dendam peribadi sahaja tidak boleh menerima penjelasan pemimpin No.2 Malaysia itu yang sanggup memberi pencerahan panjang lebar kisah sebenar kepada pemberita pada Khamis.
Tidak mahu salah faham tersebut berterusan, ahli perniagaan Indonesia itu menjelaskan bahawa pihak keluarga pengantin perempuan sendiri yang menyediakan majlis resepsi bagi menyambut anak menantunya berkenaan.
Beliau sekali gus malah menafikan dakwaan pihak berniat buruk mengatakan kononnya majlis yang diadakan penuh meriah di Hotel Ritz Carlton, Jakarta pada 19 September lalu itu menggunakan sumber dana awam.
Kata Chairul, mereka mengadakan majlis berkenaan berikutan jadual Timbalan Perdana Menteri itu kebetulan memang melawat Indonesia untuk lawatan rasmi serta bermesyuarat dengan para pemimpin republik tersebut.
“Sebagai ayah, semestinya saya yang mengadakan majlis berkenaan dan membiayai sepenuhnya. Saya sejak dulu lagi adalah ahli perniagaan di Indonesia dan Malaysia, sudah tentu memiliki kawan-kawan yang cukup ramai.
“Semua tetamu yang datang baik dari Malaysia dan Indonesia, adalah jemputan saya sepenuhnya. Sekali lagi saya tegaskan, acara saya ini adalah dari pihak pengantin perempuan. Bukan acara besan saya,” tegas beliau lagi.
Chairul berkata demikian sebagai mengulas tuduhan sebuah blog milik Shahbudin Husin yang mendakwa Ahmad Zahid menggunakan dana awam bagi mengadakan resepsi anaknya di Jakarta ketika lawatan rasmi tersebut.
Perkara berkenaan bagaimanapun turut dinafikan Timbalan Perdana Menteri ketika sidang media sempena Hari Jabatan Pendaftaran Negara Ke-67 Tahun dan Hari Inovasi Jabatan Pendaftaran di Putrajaya pada Khamis.
Tentu ramai masih ingat penulis ini pernah kantoi apabila mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak konon ‘lari’ ke London, Britain kerana takut Himpunan Rakyat Bersatu atau Baju Merah di Kuala Lumpur.
Padahal semua media arus perdana menyiarkan berita pemimpin negara itu berada di Sabah dan Sarawak dalam jadual padat merasmikan Lebuh Raya Pan Borneo dan sambutan Hari Malaysia 2015 pada 16 September lalu.
Mengulas lanjut, Chairul yang sudah lebih 20 tahun menjalankan perniagaan di Malaysia berkata, waktu pelaksanaan majlis dipilih berdasarkan kepada tarikh kunjungan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke Indonesia.
“Kami pihak pengantin perempuan yang menyesuaikan dengan jadual waktu kunjungan beliau ke Jakarta kerana beliau sangat sibuk dengan tugas kenegaraan Malaysia dan tidak mahu mengambil cuti khusus untuk resepsi anak.
“Saya fikir pertimbangan Datuk Seri ketika itu memang sangat bijaksana. Beliau amat sayangkan waktu untuk menjalankan tugas-tugas negara yang lebih mulia berbanding hanya majlis bersifat peribadi,” jelas Chairul lagi.
Demi penyesuaian waktu dan jadual kunjungan Ahmad Zahid ke Jakarta menyebabkan tempoh jarak antara majlis pernikahan anaknya di Kuala Lumpur pada 26 Julai dan resepsi di Jakarta sangat jauh iaitu 19 September lalu.
Dalam pada itu, Chairul menyifatkan pihak menuduh Timbalan Perdana Menteri konon sengaja menyalahgunakan dana kerajaan bagi membiayai majlis resepsi anak lelakinya di Jakarta sebagai cubaan fitnah yang sangat kejam.
Bagaimanapun katanya, sebagai umat Islam, beliau hanya mampu berdoa ke hadrat Ilahi agar dosa besar akibat perbuatan fitnah oleh mereka itu mendapat keampunan daripada Allah SWT. – Agensi