TOKYO – Sejak kecil lagi, seekor anak kucing betina bernama Komari tinggal bersama-sama dengan sekumpulan musang kecil milik sebuah keluarga Jepun. Akibatnya haiwan comel ini lupa cara berkelakuan seperti kucing.
Menurut media tempatan, Komari dipercayai dibuang dalam sebuah kotak kertas di tepi jalan dan terbiar sehingga hampir mati kebuluran. Ketika mula ditemui, keadaan dirinya itu sangat menyedihkan sesiapa yang melihatnya.
Pada waktu itu, usianya kurang lima minggu. Sedih melihat tubuh Komari kurus kering, keluarga berkenaan yang tidak didedahkan identiti mereka serta menemui kucing kecil tersebut segera membawanya pulang ke rumah.
Di rumah keluarga berkenaan yang turut dirahsiakan lokasinya itu, Komari berjaya dirawat dan dijaga bersama-sama dengan sekumpulan haiwan peliharaan yang lain. Tidak lama kemudian, Komari kembali sihat cergas.
Namun lucunya, haiwan peliharaan yang membesar dengan Komari adalah enam ekor anak musang jantan dan juga kehilangan kasih sayang selepas induk mereka dipercayai hilang, mungkin maut ketika memburu makanan.
Sejak Komari tiba dan diperkenalkan, musang-musang kecil berkenaan terus ‘menyukainya’ yang dianggap seumpama abang tua dan dua jenis haiwan berbeza latar belakang itu lantas menjadi rapat seperti adik-beradik.
Komari dan musang-musang kecil tersebut malah dikatakan mampu melakukan semua kegiatan rutin harian secara bersama sepanjang hari tanpa menghadapi masalah, daripada akiviti bermain sehinggalah tidur.
Mereka juga makan bersama, meskipun tentulah menikmati menu berbeza. Pemiliknya dikenali @garo004giru itu turut berkongsi kehidupan Komari dengan tujuh ekor anak musang tersebut menerusi media sosial tempatan.
Dalam masa singkat, Komari menjadi cukup terkenal di laman Twitter dengan memiliki lebih 4,000 pengikut dan setiap video aksi anak kucing ini bersama-sama dengan musang turut dikongsi kira-kira 3,000 kali di Jepun.
Namun apa yang pasti, hidup dengan musang-musang itu telah membuatkan tingkah laku Komari tampak jelas seperti seekor musang, dan nampaknya Komari mungkin ‘terlupa’ asal-usul dirinya bahawa ia sebenarnya kucing!
Mujur, satu perkara menyebabkan Komari masih lagi sedar bahawa ia sebenarnya ialah kucing dan bukan musang iaitu bunyi lazim semula jadi ‘meow‘ yang mustahil boleh diubah sampai bila-bila. – Agensi