Bomba Malaysia Sedia Bantu Padam Kebakaran Hutan Di Indonesia

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedia membantu Indonesia memadam kebakaran di hutan republik itu yang menjadi punca utama jerebu rentas sempadan yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan sekiranya pihak berkuasa negara itu memerlukan bantuan negara luar termasuk Malaysia bagi menangani masalah jerebu yang kini kian meruncing.

“Kami memang bersedia untuk membantu tetapi ini bergantung kepada keputusan kerajaan Malaysia sama ada mahu menghantar pihak bomba menyertai misi memadam kebakaran di Indonesia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Wan Mohd Noor berkata pihak bomba mempunyai aset yang lengkap dan kemahiran untuk menggalas misi memadam kebakaran di hutan di Sumatera dan Kalimantan itu.

“Kebakaran hutan ini berbeza dengan kebakaran biasa kerana kawasan hutan yang sangat luas dan sangat mencabar selain menuntut pihak berkuasa menggunakan khidmat anggota yang ramai serta segala aset yang ada bagi memadam kebakaran.

Setakat pukul 9 pagi ini, kualiti udara di kebanyakan kawasan seluruh negara semakin merosot dengan beberapa kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dan satu kawasan merekodkan bacaan IPU bahaya 308 iaitu Shah Alam.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata jerebu teruk yang melanda negara sejak pertengahan bulan lepas bakal berkurangan untuk tempoh singkat iaitu dari 6 Okt sehingga 9 Okt ini.

Namun, beliau berkata jerebu bakal melanda kembali bermula 10 Okt ini berikutan satu lagi ribut tropika diramalkan terbentuk di timur Filipina, jika kebakaran di Sumatera dan Kalimantan masih belum dipadamkan. – BERNAMA