Bukan Taksub Pada Bangsa, Tapi Malaysia Perlu Dipimpin Melayu - Abdul Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – Malaysia wajib dipimpin oleh kaum Melayu beragama Islam walaupun negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama, demikian tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya bertajuk Malaysia Majmuk dan Kepimpinan Muslim hari ini.

Kata Abdul Hadi, Islam telah lama bertapak di Malaysia tetapi kedatangan penjajah barat telah mengubah landskap negara menjadi masyarakat bersama kaum yang dipaksa datang sehingga menjadi majmuk.

“Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun negara mengikut konsep Islam sepenuhnya dilemahkan oleh penjajah. Penganut Islam tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama.

“Berasaskan pelaksanaan Islam yang tersebut, daripada ajaran Islam dan sejarahnya, maka wajib ditegakkan pemerintahan dengan cara yang betul bersama kepimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu,” katanya.

Presiden PAS dalam pada itu menegaskan, semua ideologi dan teori yang memisahkan ajaran agama daripada politik, ekonomi dan pengurusan bermasyarakat tidak mampu mengawal fanatik dan cauvinisma yang merumitkan masalah sedia ada serta mengundang masalah baru.

“Kenyataan ini bukan kerana taksub kepada Islam atau kaum bangsa, tetapi melalui hakikat yang wujud dalam ajaran Islam dan perbezaannya dengan ideologi-ideologi lain,” tegas Abdul Hadi.

Kata beliau, kepimpinan Melayu bagaimanapun wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan melibatkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

“Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan adanya perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua,” katanya.

Meskipun Abdul Hadi tidak menyebut pihak cauvinisma dalam penulisannya itu, ia bagaimanapun dipercayai menjurus kepada DAP yang kini mendapat kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk merampas pentadbiran negara dalam pilihan raya umum ke-14. -Kedahnews.com