Bukan Tulisan Cacing, Itulah Namany Tulisan Trengkas

ALOR SETAR - Sekali pandang tak ubah seperti ‘tulisan cacing’, begitulah tanggapan sebilangan masyarakat tempatan dipercayai terhadap tulisan trengkas.

Menurut Pengurus Pusat Pendidikan Fatim, Fatimah Mariam Ibrahim, 65, ada individu tertentu tidak mengenalinya, sekali gus memanggil trengkas sebagai tulisan cacing.

“Bagaimanapun, trengkas sebenarnya merupakan sejenis kaedah menulis dengan pantas hanya menggunakan simbol tertentu dalam nota-nota mereka.

“Malah, individu yang memiliki kemahiran trengkas mampu menulis nota dengan cepat, sekali gus menjimatkan masa mereka terutamanya pelajar,” katanya.

Katanya, mereka mampu mencatat 50 hingga 60 perkataan bagi setiap minit bagi peringkat permulaan, diikuti 70 hingga 80 perkataan (menengah) dan 90 ke atas (tertinggi) melalui trengkas.

Bagaimanapun, katanya, ramai orang awam zaman kini tidak menyedari kelebihan kemahiran trengkas, sedangkan ia mampu menjana pendapatan lumayan.

Menurutnya, trengkas tidak sukar dipelajari asal kena kaedah pembelajarannya, sekali gus memberi peluang cerah kepada mana-mana individu memiliki kemahiran itu.

"Sebagai contohnya, ada kenalan saya yang hanya memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjana pendapatan RM5,000 sebulan hanya dengan kemahiran trengkas," katanya.

Setiap tahun, katanya, seramai 70 pelajar termasuk anak yatim mengambil kelas trengkas bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam pelajaran.

"Mereka mampu mahir dalam trengkas dalam masa tiga bulan sahaja.

"Pusat kami turut memberi tunjuk ajar kepada orang awam teknik menaip dengan cepat pada komputer, iaitu antara 30 hingga 35 perkataan bagi setiap minit," katanya.

Bagi penuntut Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Nabiilah Mohd Sobri, 19, kemahiran dalam trengkas dimiliki dilihat bakal membantu dalam pembelajaran di universiti nanti.

“Sebelum ini, saya berdepan masalah mencatat maklumat pembelajaran di dalam kelas sehingga terpaksa menggunakan ‘recorder’ untuk menyimpan ilmu disampai pensyarah,” katanya,

Kini, katanya, dia yakin masalah mencatat dialaminya itu bakal selesai melalui teknik simbol dalam tulisan trengkas dipelajari semenjak hampir sebulan lalu.

Pada mulanya, Nabiilah mengakui dia berdepan kesukaran untuk mengenali huruf baru dalam trengkas, namun kini sudah ada perubahan baik.

Nabiilah berkata, dia akan menggunakan kemahiran trengkas dipelajari untuk membantu dalam pembelajaran, sekali gus meningkatkan kemahiran dimiliki.



Sumber: Sinar Harian