"Cikgu" Det Khalid Ajak Guru, Pendidik Beri Pandangan Sistem Maklumat

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kembali menjadi guru di Sekolah Menengah Sri Ampang, di sini baru-baru ini.
ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengalu-alukan semua guru dan warga pendidik di seluruh negara supaya memberikan pandangan terhadap perlaksanaan dan penggunaan sistem maklumat berkomputer sedia ada di sekolah masing-masing.

Menerusi laman sosial Facebook rasminya, beliau meminta para guru dan pendidik untuk mengajukan pendapat di ruangan komen berkenaan untuk diteliti, dikaji serta diperhalusi bagi tindakan selanjutnya.

"Saya amat menghargai komen serta pandangan terus daripada warga pendidik, berkaitan perlaksanaan dan penggunaan sistem maklumat berkomputer di sekolah-sekolah ketika ini, khususnya yang memerlukan penglibatan guru kelas, guru data dan seumpamanya. 

"Saya akan meneliti setiap pandangan dan kritikan yang dilontarkan di ruangan komen. Terima kasih," tulis beliau di laman Facebook sebentar tadi.


Menurut sumber dalaman, berkemungkinan terdapat maklumat dan pandangan dari guru-guru yang dikatakan tidak sampai ke pengetahuan pihak kementerian, menyebabkan tindakan wajar dapat diambil bagi menangani masalah yang berlaku di peringkat sekolah.

Sebelum ini, dikatakan timbul rungutan dari ramai guru tentang perlaksanaan dan penggunaan sistem maklumat berkomputer yang disifat sebagai membebankan guru-guru serta penambahan bebanan kerja yang semakin banyak.

Selain itu, sistem yang bermasalah dan prasarana yang tidak cukup lengkap turut menyaksikan ramai warga pendidik di sekolah-sekolah merasa tertekan dengan pelbagai sistem yang didakwa menyusahkan mereka.

Selepas diberi kepercayaan sebagai Menteri Pendidikan, Mahdzir yang juga merupakan seorang bekas guru dikatakan sedang sedaya upaya cuba mengurangkan lebihan beban dan memudahkan tugas warga pendidik di seluruh negara.

Bagi meninggalkan pandangan, sila klik di sini.  -Kedahnews.com