Cucuh Puntung Rokok Pada Punggung Dan Tubuh Kekasih, Anak 2 Tahun

Gambar Hiasan
Kota Bharu - Polis menahan lelaki berusia 33 tahun, 5.30 pagi tadi di kawasan tali air dekat Kampung Sri Cemerlang, di sini, kerana disyaki mendera teman wanita dan anak perempuan wanita itu yang berusia dua tahun.

Penahanan itu susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa dan ibunya sebelum itu dikurung di dalam sebuah rumah di Tanjung Chat, di sini oleh suspek selama seminggu.

"Mangsa ditampar hingga lebam kedua-dua mata, dicucuh dengan puntung rokok di punggung dan badan selain mengalami beberapa kecederaan lain.

"Suspek ditahan reman tujuh hari mulai hari ini sehingga 2 November," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Beliau berkata, ibu mangsa turut didera dan kedua-duanya dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: myMetro