![]() |
Mohd Izzuddin dibawa turun seorang anggota bomba. -Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah |
ALOR SETAR - Niat seorang lelaki mencari akar kayu dipercayai untuk dijadikan ubat terencat apabila dia tersesat dalam hutan ketika mendaki Gunung Jerai.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, Mohd Izzuddin Mat Radzi, 39, yang mendaki gunung melalui laluan Tangga Kenari, Titi Hayun, Yan, gagal menemui jalan pulang.
Difahamkan, Mohd Izzuddin mendaki kawasan berkenaan seawal jam 9 pagi untuk mendapatkan akar kayu dipercayai bagi digunakan untuk tujuan perubatan.
Namun, mangsa yang berasal dari Jalan Kaki Bukit Beseri, Perlis, tidak menemui tangga digunakannya untuk mendaki gunung selepas beberapa jam berlegar di kawasan itu.
Mohd Izzuddin bertindak menghubungi seorang kenalannya mendapatkan bantuan selepas berdepan detik cemas disebabkan tidak menemui tangga digunakan sebelum ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Mohd Firdaus Bukari berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian selepas sembilan minit menerima panggilan kira-kira jam 3.49 petang.
Menurutnya, seorang lelaki disyaki tersesat sewaktu keluar mencari ubat di kawasan hutan berkenaan, iaitu kira-kira 50 meter (m) dari tempat rekreasi Titi Kenari, Titi Hayun, itu.
Mohd Firdaus berkata, anggota bomba kemudian menemui lelaki dipercayai tersesat berkenaan kira-kira jam 4.20 petang sebelum membawa turun mangsa terbabit.
Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan selamat, bagaimanapun pihaknya membawa mangsa turun ke lokasi selamat menggunakan peralatan ‘streacher’ disebabkan dia keletihan.
Mohd Firdaus berkata, mangsa kemudiannya menaiki ambulans Kementerian Kesihatan dan operasi berkenaan ditamatkan pada jam 5.15 petang.
Sumber: Sinar Harian