Dakwa Sebiji Batu Miliknya Bernilai RM99 Juta


Beijing - Seorang pengumpul batu mendakwa sebiji batu dalam koleksinya bernilai 150 juta yuan (RM99 juta) kerana mempunyai corak dua beruang panda.

Lelaki itu, Li, berkata, corak pada atas batu itu kelihatan membentuk dua haiwan berkenaan, menjadikan batu itu amat berharga kepada peminat batu.

Menurutnya, dia menemui batu itu di pantai Qingdao, timur China, 12 tahun lalu.

Batu itu dikategorikan sebagai basanit, sejenis batu lama yang terbentuk hasil daripada pergerakan magma di dasar laut.

Di belakang, batu itu kelihatan seperti batu biasa.

Menurut Li, di atas batu itu ialah corak dua panda, satu besar dan satu lagi kecil.

Dia memberitahu wartawan, apabila menunjukkan kepada peminat batu lain, ramai yang kagum, malah ada yang menawar untuk membelinya dengan harga 700,000 yuan (RM462,000).

Ketika menunjukkan kepada sebuah syarikat untuk menilai, dia diberitahu harga batu itu boleh mencecah RM99 juta.

Penilaian itu bagaimanapun dipertikaikan beberapa pakar.

Ada yang berkata, nilai batu itu mungkin berpunca daripada penambahan bilangan peminat batu. 

Ada juga yang berkata, sukar untuk menentukan harga pasaran batu itu kerana tidak ada pihak berkuasa yang dapat mengesahkannya.

Mereka berpendapat, harga yang dinilaikan itu hanya spekulasi. -Agensi