DAP Jamin Kuasa Politik Melayu, Lantik PM Dari Bangsa Melayu

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
ALOR SETAR – DAP memberi jaminan Perdana Menteri Malaysia akan tetap dipilih daripada kalangan bangsa Melayu andai Pakatan Harapan berjaya merampas Kerajaan Persekutuan.

Penasihatnya, Lim Kit Siang turut memberi jaminan kuasa politik Melayu tidak akan terancam jika DAP dan parti-parti pembangkang mentadbir negara.

“Kuasa politik kaum Melayu tidak akan terancam kerana Perdana Menteri baharu adalah Melayu.

“Gabungan baharu pembangkang akan dikuasai Melayu yang mencerminkan demografi Malaysia,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kit Siang turut memetik kenyataan seorang tokoh politik yang yakin kaum Melayu sama sekali tidak akan tertindas kerana kakitangan kerajaan dan anggota tentera terdiri daripada orang Melayu.

Sebelum ini, ramai yang beranggapan bahawa sekiranya Pakatan Harapan merampas Putrajaya, DAP bakal menjadikan Perdana Menteri yang dilantik sebagai "boneka" mereka ekoran jumlah kerusi parlimen yang dimenangi oleh parti itu lebih dari parti lain.

Selain itu, dasar kesamarataan hak yang diperjuang DAP di dalam perlembagaannya dikatakan bakal menjadikan Melayu dan Islam hilang keistimewaan apabila hak dan keistimewaan disamaratakan dengan bangsa dan agama lain di Malaysia. -Kedahnews.com