DAP Keluar Resolusi PAS Tiada Dalam Pakatan Harapan


KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang bermuasyuarat malam tadi mengeluarkan resolusi bagi mengesahkan pembentukan Pakatan Harapan tanpa penyertaan parti PAS.

DAP dalam satu kenyataan media berkata, pembentukan gabungan baharu parti-parti pembangkang itu cuma dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Mesyuarat mengesahkan pembentukan Pakatan Harapan melibatkan PKR, PAN dan DAP di setiap negeri dan Sekretariat Kebangsaan Pakatan Harapan,” kata kenyataan itu hari ini.

Pakatan Harapan ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang berkubur pada Ogos lalu berikutan pertikaian yang berlaku di antara DAP dan PAS dalam beberapa isu melibatkan akidah Islam yang dipertikai DAP.

Berikutan itu, pemimpin PAS pro-Pakatan Rakyat bertindak meninggalkan parti itu dan menubuhkan PAN sebagai sebuah parti Islam baharu untuk terus bersengkongkol dengan DAP dalam Pakatan Harapan.

Sementara itu, CEC DAP turut mengeluarkan resolusi menuntut tindakan dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab di atas kematian beberapa murid Orang Asli di Pos Tohoi, Kelantan. -Kedahnews.com