DAP Tak Perlu Menyibuk Arah, Nasihat PAS... - DHPP


KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) memberi amaran kepada DAP supaya tidak sesuka hari memberi nasihat yang mengarut kepada parti itu.

Pegawai Maklumatnya, Dr B.G. Krishnan berkata, adalah lebih bijak untuk DAP terus memberi tumpuan ke atas agenda politik parti itu daripada mengarahkan apa yang perlu dilakukan PAS.

“Kenyataan Lim Kit Siang (Penasihat DAP), PAS perlu mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan hanya bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis satu penghinaan ke atas demokrasi.

“Selepas (DAP) memutuskan hubungan dengan PAS, mereka masih mempunyai niat untuk menasihati PAS apa yang perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

G. Krishnan dalam pada itu mengingatkan DAP bahawa secara realiti, hanya parti PAS dan UMNO yang mampu menarik perhatian orang ramai.

DAP sebelum ini menyarankan PAS supaya hanya bertanding di beberapa negeri termasuk Kelantan dan Terengganu untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan Pakatan Amanah.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun menegaskan parti itu tidak perlu tunduk kepada permintaan DAP sebaliknya akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. -Kedahnews.com