Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Metrowealth International Group (MIG), David Teo kesal dengan sikap pelakon Atikah Suhaime yang seolah-olah lupa asal usul selepas bertindak menyindir pihak media dengan menyenaraikan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seseorang wartawan di Instagram miliknya baru-baru ini.
David berkata, tindakan artis naungan syarikatnya itu jelas menunjukkan wanita tersebut masih belum matang dalam menjawab kontroversi selain kurang pengalaman sebagai seorang artis.
"Pada saya kenyataan dibuat Atikah menerusi Instagram berhubung isu dengan pihak media itu adalah kerana dia tidak mempunyai pengalaman dan tidak matang.
"Dia seharusnya lebih rasional dalam menghadapi sesuatu isu tetapi mungkin juga perkara itu berlaku kerana MIG belum cukup mendidiknya," kata David kepada mStar Online.
David berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Badi di Cathay E@Curve di sini, Selasa.
Atikah mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas dikatakan berang apabila wartawan menanyakan soalan mengenai gosip tentang perkara peribadi mengenai dirinya.
Terdahulu dalam laporan akhbar mingguan Ahad lalu, Atikah dan aktor Ammar Alfian menafikan mereka melakukan hubungan terlarang bersama seorang lagi artis iaitu Idris Khan.
Dalam pada itu, David berkata, Atikah seharusnya perlu bersikap rendah diri, bersyukur selain bersopan dalam tutur kata sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di laman sosial.
"Saya akan 'ajar' dia! kerana MIG tidak pernah mengajar artis-artis kami bersikap sedemikian," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, David akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Atikah berhubung kontroversi perlakuan seks tersebut yang dipercayai turut dirakamkan dalam bentuk video.
Jelas David, pertemuan itu perlu dilakukan bagi mendapatkan cerita sebenar sebelum pihaknya mengulas lanjut mengenai isu tersebut.
"Tidak adil sekiranya saya mengulas perkara tersebut tanpa mendengar penjelasan daripada Atikah terlebih dahulu.
"Sebab itu saya ingin berjumpa dengannya bagi mendapatkan cerita sebenar," kata David.
David berkata, dia yakin tuduhan mengatakan Atikah terlibat dalam sebuah video lucah adalah palsu kerana sehingga ke hari ini dia belum mendapat sebarang video sebagai bukti daripada mana-mana pihak.
"Gosip berkenaan saya sudah dengar sejak beberapa bulan lalu dan ada cuba meminta salinan video itu namun sehingga ke hari ini tiada pihak tampil mengemukakan bukti," ujarnya.
Sumber: mStar